Kalendar Hijrah membuka lembarannya seminggu yang lalu. Angka telah berubah kepada 1430 daripada 1429. Tiada apa yang berbeza, sekadar menyedari setahun telah pun berlalu dan usia telah meningkat. Umur yang sepatutnya telah terisi dengan khazanah pengetahuan dan pengalaman. Umur yang semakin menginjak dewasa. Jika dalam tahun Hijrah aku berumur 24 tahun, tahun Masihi telah membawaku ke usia 23 tahun. Semakin hampir dengan suku abad kehidupan. The older you are, the wiser you are. Wiser...sejauhmana kematangan peribadi seseorang pada umur sedemikian? Sejauhmana bijaknya diri dalam memutuskan sesuatu perkara. Andai masih berada di takuk lama, alangkah ruginya. Apabila berbicara tentang resolusi baru, rata-rata orang meletakkan target dalam kehidupan apa yang sepatutnya dilakukan. Tahun baru sinonim dengan azam baru. Azam yang mungkin akan terlaksana jika mempunyai iltizam yang tinggi atau sekadar hangat-hangat tahi ayam di pertengahan. Namun, bagi yang tidak berazam apa-apa dan mempunyai sikap yang statik untuk jangka masa yang lama, mereka ini merupakan individu yang tidak produktif dalam kehidupan. Azam yang dilafazkan perlulah digerakkan bukannya sekadar bermain di bibir sahaja. Biarpun kecil, tetapi jika dilaksanakan secara konsisten adalah lebih baik daripada yang memasang angan-angan tinggi yang kosong.
Kedatangan tahun baru haruslah disambut dengan gemilangnya. Selaraskah dengan agama untuk menyambut tahun baru? Di mana rasional sambutan meriah tahun baru? Mungkin ada yang tidak bersetuju. Terlindungkah mereka yang menggemari tahun baru diraikan secara besar-besaran daripada impak negatif 'perayaan tahunan' ini? Lebih banyak negatif daripada nilai positif...mungkin juga tidak keterlaluan jika mengatakan hampir 100% adalah negatif. Mengapa? Tahun baru menyaksikan nilai-nilai agama dan moral terhakis daripada diri seseorang. Sambutan tidak akan lengkap tanpa pesta, berseronok-seronok secara keterlaluan, melakukan perbuatan-perbuatan yg tidak selaras dengan pegangan agama. Pesta arak dan seks yang bermaharajalela. Hanya kerana tahun baru. Tarikh menyaksikan ramai yang terkorban di jalan raya kerana memandu dalam keadaan mabuk dan sebahagian besar gadis-gadis yang hilang daranya dan sebagai akibat lahirlah anak luar nikah selepas 40 minggu. GRAF SOSIAL semakin merudum. Namun, inilah sambutan tahun baru yang dibangga-banggakan.
Kedatangan tahun baru tidak ada bezanya. Tahun bertambah, umur bertambah dan semakin pula hampir dengan hari di mana semua manusia tidak dapat lari daripadanya. Dan tahun baru Masihi pada tahun ini sangat hampir dengan tahun baru Hijrah. Sedarkah kita? Atau telah dibayangi dengan resolusi-resolusi tahun 2009? Tiada salahnya menyimpan azam tetapi seiring dengan azam duniawi, azam ukhrawi perlu ditingkatkan. Bentuklah diri menjadi mukmin yang kamil. Lengkapkan diri dalam bidang-bidang yang kurang difahami. Tingkatkan amal. Tampung kekuranan diri dengan membanyakkan berbuat kebajikan. Seseorang mukmin tidak patut jatuh pada lubang yang sama dua kali.
Ingatlah, SEMALAM telah berlalu, ESOK masih menanti, HARI INI pasti.
Dan, pastikan HARI ESOK lebih baik daripada hari-hari sebelumnya.
Monday, January 5, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment